Saturday, September 5, 2009

5 NASIHAT SEBAGAI RENUNGAN

Telah diceritakan dalam kitab Tawabbih bahawa seorang lelaki yang pergi menemui Ibrahim Bin Adham lalu ia pun berkata kepada Ibrahim.

"Hai bapa Ishaq (Ibrahim), aku telah menzalimi diri sendiri, maka terangkanlah kepadaku sesuatu yang menginsafkan diriku serta menyelamatkan hatiku daripada kegelapan."

Lalu Ibrahim menjawab,

"Jika engkau dapat menerima dan melakukan 5 perkara yang akan aku perkatakan, nescaya apa saja kesedapan yang engkau kecapi tidak akan memudaratkan dirimu."

Lelaki itu pun berkata. Ingin tahu.

"Apa dia? Katakanlah padaku wahai bapa Ishaq."

Dan Ibrahim pun menerangkan kepada lelaki tersebut. Katanya,

"Pertama, apabila engkau hendak menderhaka kepada Allah, maka janganlah engkau sesekali memakan rezeki kurniaan-Nya."

Tergamam lelaki tersebut seraya berkata,

"Dari mana lagi sumber rezeki di dunia ini hendak kucari selain rezeki kurniaan Allah?"

Ibrahim Adham pun mencelah,

"Wahai saudara, apakah patut dan wajar engkau memakan rezeki kurniaan-Nya, sedangkan larangan-Nya engkau ingkari?"

Tertunduk lelaki itu lalu mengakui kebenaran kata-kata Ibrahim. Ibrahim menerangkan lagi,

"Apabila engkau hendak menderhaka kepada Allah, maka janganlah engkau menginap di mana-mana pun di atas dunia ini, kerana dunia ini ciptaan Allah untuk hamba-hamba-Nya."

Termenung sejenak lelaki tersebut.

"Ini lebih hebat daripada yang pertama tadi. Kalau Timur dan Barat dan di antara kedua-duanya juga adalah milik Allah, maka di mana pula aku dapat meneruskan kehidupan."

Ibrahim lalu menjawab,

"Wahai saudara adakah wajar, engkau makan rezeki Allah dan tinggal di bumi-Nya, kemudian engkau derhaka kepada-Nya?"

Jawab lelaki tersebut,

"Tidak, wahai Ibrahim. Lalu apa pula yang ketiga?"

Ibrahim meneruskan lagi,

"Jika engkau masih berdegil, engkau mahu juga menderhaka kepada-Nya, sedangkan engkau makan rezeki-Nya dan tinggal di bumi hamparan-Nya, maka carilah tempat yang kiranya Allah tidak dapat melihat engkau melakukan perkara yang ditegah oleh-Nya. Jika engkau ketemui daerahnya, lalu perlakukanlah sesuka hatimu, langgarilah perintah Allah dan lakukan maksiat semahumu."

Lelaki itu pun berkata,

"Hai Ibrahim! Bagaimana dapat aku berbuat demikian sedangkan Allah Maha Mengetahui, malah Dia tahu apa yang tersembunyi sekali pun!"

Ibrahim pun menjawab,

"Wahai saudara, adakah patut engkau menikmati rezeki Allah, tinggal di bumi yang dicipta-Nya, menderhaka kepada-Nya walhal Allah mengetahui hakikatmu dan mengetahui setiap apa yang engkau lakukan, biarpun dalam sembunyi, apatah lagi terang-terangan?"

Sambung Ibrahim Adham lagi,

"Apabila tiba malaikat maut hendak mencabut nyawamu, maka katakanlah kepadanya, 'Berikanlah aku tempoh untuk bertaubat nasuha dan untuk beramal soleh kerana Allah.'

Jawab lelaki itu,

"Sudah tentu malaikat maut tidak menurut kataku. Malaikat maut hanya menurut perintah Allah."

Ibrahim meneruskan lagi kata-katanya,

"Wahai saudara, apakah dalam keadaan engkau tidak berdaya menolak maut untuk memberi ruang untuk engkau bertaubat, dan engkau juga mengetahui bahawa maut juga tidak menunggu lagi apabila tiba masanya, lalu engkau pula berharap engkau terselamat?"

Tunduk akur lelaki itu, membenarkan kata-kata tersebut. Ibrahim Adham berkata lagi,

"Apabila dating malaikat Zabaniah pada hari Kiamat hendak membawa mu masuk ke dalam neraka maka janganlah engkau mahu pergi bersamanya."

Lelaki itu menggeleng, katanya,

"Masakan boleh begitu. Mereka tidak akan melepaskan aku."

Ibrahim pun berkata,

"Jika begitu bagaimana engkau mahu selamatkan dirimu sedangkan dosa yang engkau lakukan pasti akan dibalas jika tidak bertaubat."

Lelaki itu benar-benar tersedar kini. Dia menyedari kesilapan sendiri. Jauh di sudut hatinya terdetik keinsafan.

"Wahai Ibrahim, cukuplah. Terlalu leka dan lalai aku selama ini sedangkan kehidupanku ini segalanya adalah kehendak Allah. Rezeki dan nikmat Allah terlalu banyak telah kurasai. Tidak sepatutnya aku melupakan-Nya apatah lagi mengingkari-Nya. Aku mohon keampunan Allah dan bertaubat kepada-Nya."

Ibrahim Adham terlalu gembira mendengar pengakuan lelaki tersebuat. Lelaki itu turut mengikuti Ibrahim melakukan ibadat.

...Semoga Allah memberi hidayah kepada kita...insya-Allah.

No comments:

Post a Comment